Inilah soalan pertama yang saya kemukakan sebelum mengajar bahasa Arab kepada pelajar yang
mengambil bahasa Arab peringkat permulaan di UITM. Kebiasaannya, jawapan yang didapati adalah ‘ya’
dan tidak pasti. Seandainya ‘ya’, kenapa mengambil risiko? Soalan yang menyusul kepada mereka.
Jawapan yang akan diberikan ialah tulisannya seperti tulisan Jawi, kemudian ada yang menambah : Saya
tahu membaca al-Qur’an, pasti tidak sukar untuk saya mempelajari bahasa Arab. Seorang siswa yang
bermotivasi mencelah: Ia kan bahasa Syurga, tentu ada faedah jika mempelajarinya.
Saya cukup kagum dengan variasi jawapan yang diberikan, meskipun terdapat siswa dan siswi
yang masih terpinga-pinga dengan persoalan yang dikemukakan pada hari pertama pembelajaran
bahasa Arab Komunikasi ini. Kenapa soalan kritikal ini diajukan kepada mereka? Tidakkah ini menggugat
jiwa mereka untuk mengambil bahasa pilihan ketiga ini di UITM? Tidakkah ini akan membuka peluang
kepada mereka untuk ‘lari’ mengambil bahasa pilihan lain yang ditawarkan?
Sengaja saya menduga setakat mana pengetahuan dan pandangan mereka mengenai bahasa
Arab. Ia bukan saja-saja. Ia adalah suatu yang penting sebelum saya membuka pandangan seluasluasnya
kepada mereka mengenai bahasa Arab. Saya perlukan suatu ‘pengenalan’ mengenai pandangan
dan ‘harapan’ mereka dalam mempelajari bahasa Arab. Biar mereka mengerti dan memahami sedalamdalamnya
mengenai bahasa yang ingin mereka terokai.
Selanjutnya saya akan memberitahu mereka: “Pada pandangan saya, bahasa Arab tidak
sukar…cuma ia complicated”. Suatu kesengajaan pada saya tidak menyatakan perkataan itu dalam
bahasa Melayu kerana istilah itu lebih nampak kompleks apabila diungkapkan sebegitu. “Samalah
ustazah”. Pantas seorang siswa memberikan responds. “Ia tidak sama dan tidak akan sama”. Secara
tegas saya akan mempertahankan perbezaan istilah tersebut.
“Saya katakan complicated kerana apabila kamu mempelajari sesuatu yang baru, satu tajuk,
selanjutnya kamu akan diperkenalkan dengan cabang-cabangnya dan daripada cabang-cabang tersebut,
terdapat lagi cabang-cabang serta pelbagai lagi ilmu yang berkaitan. Ia ibarat suatu ilmu bahasa yang
tidak mempunyai kesudahan. Contohnya saya mengajar kamu mengenai Kata Nama. Selanjutnya saya
mengatakan bahawa semua Kata Nama mempunyai jantina. Kamu akan didedahkan pula cara
mengenali jantina-jantina tersebut. Selanjutnya pengecualian daripada peraturan biasa mengenali Kata
Nama dan seterusnya disusuli dengan tajuk-tajuk berkaitan. Bukankah itu adalah suatu yang
complicated?”.
Bahasa Arab merupakan bahasa yang cukup istimewa. Terlalu banyak keunikan dan hal menarik
mengenai bahasa ini. Unik dari segi sejarahnya dan menarik dari segi penghayatan. Seandainya anda
mempelajarinya dalam keadaan teraba-raba, mencari logik kelebihan bahasa ini, merentasi jalan-jalan
sukar untuk mengapai kefahaman…percayalah seteguk madu akan anda kecapi nanti! Anda pasti
menghargai saat-saat sukar anda itu…..selamat meneroka jalan mencari redha Allah!
Categories: Umum











